Raja Muda Selangor berkenan sampaikan sumbangan Hari Raya kepada asnaf

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfiri kepada asnaf/ RTM

HULU SELANGOR, 27 Februari – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfiri kepada 525 asnaf daerah Hulu Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Muda Selangor menyampaikan sumbangan Hari Raya RM500 kepada 525 asnaf Hulu Selangor.
  • Majlis Perbandaran laksana Program Rejuvenasi Bandar memulihkan kawasan brownfield dan tarik pelabur baharu.
  • Rolling Plan RMK12 luluskan 30 projek bernilai RM58.37 juta untuk pembangunan infrastruktur dan ekonomi daerah.

Daripada jumlah itu 99 orang merupakan fakir, 355 orang miskin dan 71 muallaf.

Setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM 500 dengan jumlah keseluruhan sumbangan diberikan adalah RM 262,500.

Baginda berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat daerah Hulu Selangor di Masjid Jamek Sungai Tengi, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Salehuddin Saidin dan Exco Agama Islam, Dr. Mohammad Fahmi Ngah.

Sementara itu dalam sembah ucapan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Yuhanas Auree Kamaruddin memaklumkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor giat melaksanakan Program Rejuvinasi Bandar bagi menghidupkan semula kawasan pemajuan terbengkalai atau ‘brownfield’ di daerah itu.

Katanya, sebagai projek perintis, kerja pembersihan dan pembaikan infrastruktur asas dilaksanakan di Kawasan Perindustrian Jalan Kamunting, Bandar Bukit Sentosa.

lnisiatif itu mula menunjukkan hasil positif apabila berjaya menarik minat pelabur baharu dan mendorong pemilik premis membaiki bangunan masing-masing.

Program berkenaan akan diteruskan ke Pekan Serendah serta kawasan zon pelaburan dan pembangunan lain di Hulu Selangor.

Sementara itu, menerusi Rolling Plan Kelima di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 30 projek diluluskan bagi tahun 2026 dengan nilai pembangunan RM58.37 juta melibatkan 23 projek baharu dan tujuh projek sambungan.

Antara projek utama termasuk Projek Lembu Tenusu di Sungai Tengi, pembinaan jalan baharu ke UMW High Value Manufacturing Park di Serendah, menaik taraf sistem bekalan air Felda Sungai Tengi serta pembangunan infrastruktur tanaman jagung bijirin di Rawang.

Turut dilaksanakan projek transformasi gerabak penumpang KTMB serta pembinaan blok asrama dan akademik Darul Quran JAKIM di Kuala Kubu Bharu.

Keseluruhannya, inisiatif tersebut memperkukuh pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan penduduk Hulu Selangor.