Jenazah lima sekeluarga maut kebakaran selamat dikebumikan

Jenazah lima sekeluarga maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Raub selamat dikebumikan/ RTM

RAUB, 27 Februari – Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Raub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Gelugor pukul 10.45 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Gelugor malam tadi.
  • Lima van membawa jenazah dan diiringi Polis Diraja Malaysia dari IPD Daerah Raub.
  • Upacara sembahyang dan pengebumian disertai ahli keluarga, sahabat dan penduduk setempat dalam suasana pilu.

Jenazah Mohd Alawi Muhammad, 56 tahun, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 tahun dan tiga anak perempuan mereka iaitu Ruby Adira Batrisya, 17 tahun, Ruby Adlina Banin, 14 tahun dan Ruby Azyan Barizah, 10 tahun, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Sebanyak lima van membawa semua jenazah dan turut diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Raub.

Jenazah dibawa dari Unit Forensik, Hospital Raub ke Masjid Tengku Abdullah, Kampung Pamah Kulat untuk disembahyangkan.

Dalam pada itu, situasi pilu menyelubungi tanah perkuburan dihadiri orang ramai terdiri daripada ahli keluarga, sahabat dan penduduk setempat.

Proses pengebumian selesai sepenuhnya pada pukul 12.12 tengah malam.