
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memaklumkan peruntukan pembangunan (DE) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ditumpukan kepada perbelanjaan operasi projek kritikal yang berkait langsung dengan pelaksanaan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) yang telah diluluskan.
- Peruntukan RMK12 MARDI difokuskan kepada operasi projek penyelidikan, pembangunan dan pemindahan teknologi yang diluluskan.
- Tuntutan perjalanan dan emolumen hanya dibenarkan untuk projek berkaitan dengan kod projek dan dokumen sokongan lengkap.
- Perbelanjaan DE menyokong aktiviti projek RDCI, bukan kos operasi pengurusan am institut.
- 17 projek RMK12 mencapai 201 output termasuk 166 teknologi baharu sehingga 31 Disember 2025.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, berkata perbelanjaan itu merangkumi tuntutan perjalanan pegawai penyelidik untuk pengambilan data, pemantauan lapangan serta pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan pemindahan teknologi berkaitan projek.
Beliau berkata, setiap tuntutan dibuat menggunakan kod projek khusus serta disertakan dokumen sokongan yang lengkap semasa proses pembayaran dilaksanakan.
“Merujuk kepada maklum balas Kementerian Ekonomi kepada Jabatan Audit Negara pada 19 November 2025, tuntutan perjalanan atau emolumen hanya dibenarkan bagi projek berkaitan sahaja dan tiada ketirisan berlaku seperti yang didakwa,” katanya.
“Perbelanjaan menggunakan peruntukan pembangunan oleh MARDI adalah bagi menyokong pelaksanaan aktiviti projek R&D&C&I dan bukan kos operasi dalam pengertian perbelanjaan mengurus atau pentadbiran am institut,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, dari segi pencapaian, penggunaan peruntukan pembangunan (DE) bagi operasi projek R&D&C&I tidak menjejaskan sasaran output yang ditetapkan.
Sehingga 31 Disember 2025, kesemua 17 Projek Pembangunan RMK12 MARDI berjaya mencapai 201 output yang dirancang.
Daripada jumlah itu, sebanyak 166 teknologi baharu berjaya dihasilkan merangkumi pelbagai komoditi tanaman, ternakan serta disiplin teknologi.