
GUA MUSANG, 24 Februari- Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang seekor beruang ketika keluar mencari tumbuhan di kawasan hutan berhampiran Kampung Guh, Pos Tohoi, di sini pada Isnin.
- Lelaki Orang Asli cedera diserang beruang semasa mencari tumbuhan di kawasan hutan berhampiran Kampung Guh.
- Mangsa mengalami kecederaan kaki kanan dan tangan kiri, dirawat di Klinik Kesihatan Kuala Betis kemudian dirujuk ke Hospital Gua Musang.
- Laporan dibuat kepada polis dan PERHILITAN, siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurut bapa saudaranya, Eddry Chali, mangsa, Asmir Alang, 19, mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan dan tangan kiri.
Jelas Eddry, Asmir berada di hutan bersama lima lagi ahli keluarga ketika kejadian kira-kira pukul 1.00 tengah hari.
“Ketika mereka berehat semasa mencari herba, tiba-tiba seekor beruang muncul dan menyerang mangsa.
“Abangnya yang menyedari adiknya bergelut dengan haiwan itu segera datang membantu dan mereka berjaya keluar dari hutan,” katanya.
Mangsa dari suku kaum Temiar itu kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dengan bantuan kenderaan pacuan empat roda pihak Tenaga Nasional Berhad sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang.
Eddry menambah laporan telah dibuat kepada polis dan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan susulan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo turut mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.