
PUTRAJAYA, 23 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan politik antarabangsa yang disifatkan semakin meruncing dan mencabar, sekali gus memerlukan kepimpinan berteraskan kewarasan serta kekuatan moral.
- Perdana Menteri bimbang politik global semakin meruncing dan menuntut kepimpinan berteraskan kewarasan serta kekuatan moral.
- Malaysia akan kekal berpegang kepada prinsip kesederhanaan, hormat dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.
- Peranan Wisma Putra dan diplomasi Malaysia dipuji sebagai penting untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan martabat negara.
Beliau menegaskan keperluan untuk memelihara maruah dan kestabilan bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat global.
“Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk meneruskan tekad untuk bekerja lebih keras dan memelihara maruah serta kewarasan, bukan sahaja di sini tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Kementerian Luar Negeri di Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra), di sini hari ini.
Menurut beliau, landskap geopolitik semasa menuntut kebijaksanaan serta pendekatan yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan pemimpin dunia.
Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan, hormat dan kebersamaan dalam mendepani cabaran semasa.
“Namun kelangsungan mana-mana negara, terutamanya negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, akan bergantung kepada kebolehan dan kapasiti kita untuk menerima satu sama lain sebagai satu keluarga besar,” katanya lagi.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta wakil perwakilan asing.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kekuatan moral dan kewarasan kepimpinan amat penting dalam memastikan keamanan serta kestabilan antarabangsa terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Wisma Putra atas dedikasi memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia.
“Ini bukan saja sekadar mengadakan kunjungan, tetapi kunjungan yang memberikan erti dan kesan, yang akhirnya memberi manfaat erti persahabatan, persaudaraan serta jalinan kerjasama antara negara. Yang penting juga adalah memberi ruang dan kesempatan mengangkat martabat Malaysia sebagai negara dagang dan negara yang bersahabat dengan semua,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut memuji komitmen pasukan Wisma Putra di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan, sambil menyifatkan tugas yang dilaksanakan sebagai cemerlang dan menjadi teras kepada kekuatan diplomasi negara.
Menurut beliau, dedikasi tersebut membuktikan Malaysia kekal relevan dan dihormati dalam jaringan diplomasi serantau serta global.