
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Platform media sosial tidak boleh melepaskan tanggungjawab apabila kes penipuan dalam talian terus meningkat.
- Platform media sosial mesti bertanggungjawab terhadap reka bentuk dan keselamatan yang boleh dieksploitasi penjenayah.
- Isu penipuan bukan sekadar literasi digital pengguna tetapi juga cara platform dibangunkan.
- Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) mewajibkan langkah perlindungan dan tindakan penguatkuasaan terhadap platform yang gagal.
- Mangsa penipuan digalakkan hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NCRC) segera untuk tindakan pantas.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata lonjakan kes scam yang direkodkan pada Januari lalu membuktikan keperluan untuk meneliti aspek keselamatan dan reka bentuk platform itu sendiri.
“Saya fikir ada sesuatu yang tidak kena dengan platform media sosial. Kita anggap platform-platform media sosial ini seperti satu bangunan. Sekiranya terlalu banyak masalah berlaku dalam bangunan itu, apakah isunya reka bentuk bangunan? Adakah soal keselamatan melalui reka bentuk yang membolehkan penjenayah mengeksploitasi reka bentuk bangunan itu untuk memperdayakan mereka yang menggunakan bangunan itu.
“Kita nak rakyat Malaysia memanfaatkan pebagai aplikasi digital tapi sekiranya aplikasi ini mengundang penjenayah, pengguna jadi mangsa, maka platform media sosial perlu bertanggungjawab,” kata beliau kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Dr. Sharifah Adlina Syed Abdullah di pejabatnya, di sini hari ini.
Menurut Datuk Fahmi, isu berkenaan bukan hanya berpunca daripada tahap literasi digital pengguna, sebaliknya turut melibatkan bagaimana sesuatu platform itu dibangunkan.
Tegasnya, Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu mewajibkan platform memperkukuh langkah perlindungan bagi mengekang kandungan berkaitan penipuan.
Kira-kira 10 instrumen subsidiari dijangka dilaksanakan menjelang suku kedua tahun ini, termasuk keperluan menurunkan iklan perjudian dalam talian, promosi ‘deepfake scam’ serta pelaburan palsu.
Platform yang gagal mematuhi peruntukan berdepan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NCRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil, termasuk membekukan transaksi kewangan.
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman baru-baru ini, kes penipuan telefon (phone scam) menunjukkan peningkatan yang membimbangkan pada Januari 2026 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sebanyak 481 kes telah direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM27 juta.
Statistik menunjukkan kadar peningkatan kes sebanyak 46%, manakala jumlah kerugian meningkat sehingga 58% berbanding Januari 2025.