Jorge Martin ungguli GP Perancis

Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin, muncul juara Grand Prix Perancis. – Foto AFP

LE MANS, 11 Mei – Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin, muncul juara Grand Prix Perancis selepas menampilkan aksi cemerlang untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama meskipun bermula di petak ketujuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan itu merupakan kemenangan MotoGP pertama Martin selepas beliau menjuarai gelaran dunia 2024.
  • Martin memintas rakan sepasukan Marco Bezzecchi ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan.
  • Kejayaan itu merapatkan jurang kejuaraan kepada hanya satu mata di belakang Bezzecchi.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Martin dalam saingan MotoGP selepas beliau menjuarai gelaran dunia pada 2024.

Martin memintas pendahulu yang juga rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi, ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan sebelum menamatkan saingan.

Jorge Martin memintas pendahulu yang juga rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi. Foto AFP

Kejayaan itu, sekali gus merapatkan jurang kejuaraan dunia kepada hanya satu mata di belakang Bezzecchi.

Lebih manis buat Aprilia apabila pengeluar Itali itu menyapu bersih podium MotoGP, selepas Ai Ogura dari pasukan satelit Trackhouse meraih tempat ketiga.

Jorge Martin (tengah) menjuarai GP Perancis, manakala Marco Bezzecchi (kiri) ditempat kedua dan Ai Ogura (kanan) ketiga. – Foto AFP

Sementara itu, juara bertahan Marc Marquez dari Ducati Lenovo Team terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas mengalami patah kaki akibat kemalangan ketika perlumbaan pecut pada Sabtu.

Marquez juga disahkan tidak akan beraksi pada Grand Prix Catalan minggu depan kerana perlu menjalani pembedahan.

Izan Guevara (tengah) menjuarai Moto2, manakala Manuel Gonzalez di tempat kedua dan Ivan Ortola. – Foto AFP

Dalam kategori Moto2 pula, Izan Guevara mencatat kemenangan bergaya dalam perlumbaan yang turut menyaksikan bendera merah dikibarkan.

Beliau mendahului setiap pusingan untuk menewaskan Manuel Gonzalez di tempat kedua, manakala Ivan Ortola melengkapkan podium di tempat ketiga.

Saingan Moto3 dimenangi Maximo Quiles, manakala Adrian Fernandez di tempat kedua dan Matteo Bertelle di tempat ketiga. – Foto AFP

Dalam saingan Moto3, pendahulu kejuaraan dunia Maximo Quiles menguasai perlumbaan dalam keadaan litar basah di Le Mans untuk meraih kemenangan dan melebarkan jurang mata keseluruhan.

Beliau menewaskan pemenang petak utama Adrian Fernandez yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sementara Matteo Bertelle berada di tempat ketiga. – Reuters