226 pekerja asing ditahan dalam Op Mega di tapak pembinaan Setiu

Foto RTM

KUALA NERUS, 15 Februari – Seramai 226 pekerja asing ditahan selepas pemeriksaan terhadap 316 individu di sebuah tapak pembinaan di Setiu menerusi Op Mega Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 226 pekerja asing ditahan di tapak pembinaan Setiu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
  • Kesalahan utama melibatkan penyalahgunaan pas kerja, termasuk bekerja di syarikat berbeza daripada yang tertera.
  • Dua pekerja cuba melarikan diri dengan terjun ke laut tetapi dikesan dan diselamatkan menggunakan dron serta bantuan JPAM.
  • Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut; operasi melibatkan agensi berkaitan.

Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, warga asing dari Bangladesh, India dan Indonesia itu ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, dengan kesalahan paling ketara melibatkan penyalahgunaan pas kerja.

Menurutnya, terdapat pekerja yang memiliki pas bagi sektor pembinaan namun bekerja dengan syarikat lain, dipercayai akibat manipulasi pihak tertentu termasuk ejen.

“Pekerja memiliki pas pembinaan tetapi bekerja dengan syarikat lain dan kita akan memanggil majikan untuk memberi keterangan di pejabat imigresen,” katanya.

Dalam operasi sama, dua pekerja asing bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri sebelum dikesan menggunakan unit dron JIM Terengganu dan diselamatkan dengan bantuan aset Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tenaga Kerja dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).