
KUALA LUMPUR, 12 Februari -Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 37.3 peratus pada Disember 2025 kepada 28,684 tan berbanding 20,891 tan pada November 2025.
- Pengeluaran getah susut 25.1 peratus secara tahunan susulan pengeluaran kecil menyumbang 87.2 peratus.
- Jumlah stok getah meningkat 1.4 peratus kepada 121,686 tan pada Disember 2025.
- Eksport getah asli turun 12.7 peratus kepada 32,139 tan berbanding bulan sebelumnya.
- China utama destinasi eksport, dan sarung tangan getah terus pendorong utama nilai eksport.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebaliknya secara tahunan, pengeluaran getah asli susut 25.1 peratus berbanding Disember 2024 sebanyak 38,299 tan, disumbangkan oleh pengeluar kecil sebanyak 87.2 peratus manakala estet, 12.8 peratus.
”Jumlah stok getah asli pada Disember 2025 meningkat 1.4 peratus kepada 121,686 tan berbanding 120,030 tan pada November 2025.
”Malaysia mengeksport 32,139 tan getah asli pada Disember 2025, turun 12.7 peratus berbanding November 2025 sebanyak 36,820 tan,” katanya dalam satu kenyataan.
China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 49.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Jerman (16.4 peratus), Emiriah Arab Bersatu (4.8 peratus), Portugal (3.9 peratus) dan Mesir (3.7 peratus).
Produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah terus menyokong prestasi eksport.
Sarung tangan kekal penyumbang utama eksport produk getah dengan nilai RM1.3 bilion pada Disember 2025, meningkat 37.3 peratus berbanding RM900 juta pada November 2025.