SmartWills Wasiatku, Palladium Trustee perkukuh perancangan harta pusaka Islam

Gambar Hiasan Janaan AI

PETALING JAYA, 12 September – SmartWills Wasiatku dan Palladium Trustee Berhad memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan urusan perancangan dan pentadbiran harta pusaka Islam menerusi gabungan teknologi digital dengan perkhidmatan pemegang amanah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Palladium dilantik sebagai pemegang amanah tunggal untuk fungsi wasi, pentadbir dan penjaga aset.
  • Kerjasama gabungkan kepakaran perancangan harta, amanah, undang-undang dan syariah untuk penyelesaian menyeluruh.
  • Teknologi digital digabungkan dengan perkhidmatan peramanahan bagi memudahkan akses perancangan harta pusaka Islam.
  • Merangkumi kesinambungan perancangan semasa hayat hingga pentadbiran selepas kematian, menggalakkan masyarakat membuat perancangan awal.

Menerusi kerjasama itu, Palladium Trustee Berhad dilantik sebagai syarikat pemegang amanah tunggal bagi SmartWills Wasiatku untuk melaksanakan fungsi sebagai wasi atau pentadbir harta pusaka, pemegang amanah serta penjaga aset, tertakluk kepada terma dan skop perkhidmatan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Pengarah Strategik SmartWills Wasiatku, Norazmi Samsuri berkata kerjasama berkenaan penting dalam usaha membangunkan ekosistem perancangan harta yang melibatkan pelbagai bidang kepakaran.

“Dalam membantu manusia merancang, meneruskan dan melindungi harta mereka untuk generasi yang akan datang. Kami percaya bahawa tiada satu pihak yang mampu membina ekosistem ini secara bersendirian.

Dengan menggabungkan kepakaran dalam bidang perancangan harta, amanah, undang-undang dan syariah, kita dapat memberikan penyelesaian yang lebih menyeluruh lalu mengurangkan risiko,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Palladium Trustee Berhad, Julia Mustaffa berkata kerjasama itu menggabungkan teknologi digital dengan bidang peramanahan dan pentadbiran harta pusaka.

“Melalui kerjasama dengan SmartWills Wasiatku ini, kami dapat menggabungkan pengalaman dan kepakaran Palladium Trustee Berhad dalam peramanahan Islam serta pentadbiran harta pusaka dengan kemudahan teknologi digital, sekali gus menjadikan perancangan harta pusaka Islam lebih mudah diakses oleh masyarakat,” katanya.

SmartWills Wasiatku menyediakan perkhidmatan berkaitan wasiat, hibah dan faraid menerusi platform digital, manakala Palladium Trustee Berhad berperanan dalam urusan peramanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Kerjasama itu turut merangkumi kesinambungan urusan perancangan dan dokumentasi harta semasa hayat pelanggan sehingga proses pentadbiran harta pusaka selepas kematian.

Kedua-dua pihak menyasarkan kerjasama berkenaan dapat menggalakkan masyarakat membuat perancangan harta lebih awal supaya urusan pembahagian dan pentadbiran harta dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.