
KUALA LUMPUR, 13 September – Semangat patriotik terus disemarakkan menerusi Program Pentarama Merdeka @ HOHO yang menghimpunkan lebih 4,000 pengunjung tempatan dan pelancong asing di tiga lokasi tumpuan sekitar ibu negara, semalam.
- Anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, siri kedua Program Pentarama Merdeka @ HOHO untuk mendekatkan mesej patriotik kepada masyarakat.
- Program dijalankan di Dataran Merdeka, Sungei Wang Plaza dan Pavilion Bukit Bintang dengan pendekatan santai dan mesra rakyat.
- Hiburan bermaklumat termasuk persembahan muzik dan nyanyian oleh artis budaya serta pemuzik Pentarama dari bas dua tingkat HOHO.
- Menegaskan bukan acara rasmi tetapi usaha kerajaan untuk menyematkan semangat patriotik berterusan, bukan berakhir selepas 31 Ogos.
Program siri kedua anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu berlangsung di Dataran Merdeka, Sungei Wang Plaza dan Pavilion Bukit Bintang menerusi pendekatan santai dan mesra rakyat.
Ketua Pengarah Penerangan, Erwin Khairul Ahmad berkata pendekatan berkenaan membolehkan mesej patriotisme, kebersamaan dan perpaduan disampaikan secara lebih dekat kepada masyarakat.
“Program ini bukan acara rasmi atau istiadat, namun bertujuan menyampaikan hasrat serta dasar kerajaan kepada masyarakat bahawa semangat patriotik perlu sentiasa disematkan dalam dada setiap rakyat Malaysia dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau menyatakannya kepada pemberita pada Program Pentarama Merdeka @ HOHO di Pavilion Bukit Bintang, di sini.
Menurut Erwin Khairul, program itu mengetengahkan konsep hiburan bermaklumat menerusi persembahan muzik dan nyanyian secara langsung oleh artis budaya serta pemuzik Pentarama dari atas bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off (HOHO).
Beliau berkata program berkenaan juga bertujuan mengikis persepsi bahawa sambutan Bulan Kebangsaan berakhir selepas acara perbarisan dan perarakan pada 31 Ogos.
“Ramai beranggapan sambutan Bulan Kebangsaan berakhir sejurus selesai perarakan 31 Ogos, sedangkan usaha menyemarakkan semangat patriotik perlu diteruskan dan disemat dalam dada setiap rakyat pada setiap hari dan sepanjang masa,” katanya.