Selangor setara insentif kemenangan atlet para, atlet SUKMA

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 11 Febuari Kerajaan Negeri Selangor akan menyetarakan insentif kemenangan atlet para SUKMA dengan atlet SUKMA, bagi memastikan peluang, latihan dan kebajikan yang setara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri Selangor menyetarakan insentif kemenangan atlet para SUKMA dengan atlet SUKMA menjelang SUKMA dan Para SUKMA 2026.
  • Insentif sama ditetapkan, contohnya ganjaran RM10,000 untuk setiap pingat emas bagi atlet para.
  • Pelantikan kontinjen dan program persediaan dilaksanakan untuk 141 atlet para, jurulatih dan pengurus pasukan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi menyatakan, ia sejajar dengan pendekatan kerajaan negeri yang turut menyetarakan akses latihan, pembangunan prestasi dan kebajikan atlet para SUKMA agar setanding atlet SUKMA menjelang penganjuran temasya itu tahun ini.

“Kali ini kita menetapkan insentif kemenangan bagi atlet para SUKMA adalah setara dengan insentif yang diterima atlet SUKMA, misalnya setiap emas diperoleh menerima ganjaran RM10 ribu ringgit.

“Selepas ini atlet para pun akan menerima kadar yang sama,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program ‘Selangor Road To Champion Para SUKMA 2026’ dan Majlis Penyerahan Pelantikan Kontijen Para SUKMA Selangor di Shah Alam.

Majlis berkenaan disaksikan oleh 141 atlet para, 10 pengurus pasukan dan 17 jurulatih.

Sementara itu ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dilantik sebagai Ketua Kontinjen, manakala Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dr Ani Ahmad diumumkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen.

Para SUKMA 2026 dijadual berlangsung di daerah Klang dan Petaling pada 5 hingga 10 September, menawarkan 316 pingat emas daripada 316 acara melibatkan 10 jenis sukan.