
NEW YORK, 11 Februari – Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Britney Spears, dilaporkan menjual hak katalog muziknya yang merangkumi lagu hit seperti …Baby One More Time dan Oops!…I Did It Again.
- Britney Spears menjual hak katalog muzik bernilai sekitar AS$200 juta.
- Katalog termasuk lagu hit seperti ...Baby One More Time dan Oops!...I Did It Again.
- Hak dibeli oleh syarikat penerbitan Primary Wave.
- Menjual katalog menjadikan karya muzik aset pelaburan jangka panjang dalam era penstriman.
Menurut laporan media AS, nilai perjanjian itu dianggarkan sekitar AS$200 juta, setara dengan penjualan katalog Justin Bieber pada 2023.
Hak berkenaan dilaporkan dibeli syarikat penerbitan muzik Primary Wave, yang turut memiliki karya artis terkenal seperti Whitney Houston, Bob Marley dan Prince.
Pemilik hak penerbitan lagu akan menerima bayaran setiap kali karya disiarkan, dijual atau digunakan dalam iklan dan filem, menjadikan katalog muzik aset pelaburan jangka panjang yang menarik dalam era penstriman.
Spears, 44, menyertai senarai panjang artis yang menjual hak muzik mereka, termasuk Bruce Springsteen, Bob Dylan, Shakira dan kumpulan KISS.
Penyanyi itu mencipta nama pada akhir 1990-an namun mengurangkan aktiviti muzik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2021, mahkamah AS menamatkan kawalan kewangan selama 13 tahun oleh bapanya yang sebelum ini disifatkan Spears sebagai bersifat menindas. – AFP