Pempamer Malaysia raih jualan eksport RM1.76 bilion

Seramai 118 pempamer Malaysia menyertai Pameran Gulfood 2026. Foto/KUSKOP

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Malaysia berjaya meraih nilai jualan eksport RM1.76 bilion pada Pameran Gulfood 2026, mengatasi sasaran awal RM1.5 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan eksport Malaysia di Gulfood 2026 capai RM1.76 bilion, melebihi sasaran RM1.5 bilion.
  • Peningkatan dipacu permintaan produk minyak sawit, minuman, makanan diproses, sos dan makanan tambahan kesihatan.
  • CEPA Malaysia–UAE sejak Okt 2025 tingkat daya saing, bantu PKS tawar harga kompetitif serta capai pasaran MENA.

Pameran Gulfood merupakan pameran perdagangan makanan dan minuman tahunan terbesar dunia yang dianjurkan di Dubai World Trade Centre dan Dubai Exhibition Centre.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan, jumlah tertinggi pernah direkodkan itu menunjukkan peningkatan 5.4 peratus berbanding RM1.67 bilion yang direkodkan pada edisi 2025.

Menurut agensi itu, peningkatan tersebut didorong oleh permintaan kukuh terhadap produk berasaskan minyak sawit, minuman, makanan diproses, sos serta makanan tambahan kesihatan.

“Pemangkin utama kepada prestasi cemerlang tahun ini ialah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia–Emiriah Arab Bersatu (CEPA) yang mula berkuat kuasa pada Oktober 2025.”

“Perjanjian ini bakal meningkatkan lagi daya saing produk Malaysia menerusi penghapusan atau pengurangan tarif ke atas hampir semua barangan yang layak,” jelas MATRADE dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof, berkata angka jualan itu membuktikan impak positif CEPA terhadap hubungan perdagangan kedua-dua negara walaupun perjanjian tersebut masih di peringkat awal.

“Manfaat CEPA membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeksport tempatan menawarkan harga lebih kompetitif dan penghantaran lebih pantas kepada pembeli di UAE serta rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

”Justeru, syarikat Malaysia memanfaatkan akses keutamaan ini bagi mendapatkan urus niaga yang lebih besar dan memperkukuh kehadiran di rantau tersebut,” jelasnya dalam kenyataan sama.

Seramai 118 pempamer Malaysia menyertai Pameran Gulfood dari 26 hingga 30 Januari 2026.

Ia merupakan penyertaan terbesar negara setakat ini berbanding 90 pempamer pada tahun sebelumnya.

MATRADE kekal komited untuk menyelaras penyertaan lebih besar bagi Gulfood seterusnya bagi mempercepatkan eksport makanan dan minuman negara serta memastikan Malaysia terus menjadi hab sumber pilihan di rantau ini.