
KUCHING, 10 Februari – Produk sejuk beku tanpa permit sah bernilai RM5.25 juta berjaya dirampas dalam Op Taring Chiller yang dijalankan di Kuching, pada Isnin.
- Rampasan 15,756 kilogram produk daging khinzir sejuk beku ditemui dalam stor tanpa permit.
- Operasi Op Taring Chiller dijalankan oleh Cawangan Risik, Briged Sarawak PGA bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
- Pelbagai peralatan pemprosesan dan kemudahan stor sejuk beku turut dirampas sebagai bukti.
- Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan; kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan lanjut.
Rampasan itu hasil serbuan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak ke atas sebuah premis penyimpanan.
Komander Briged Sarawak PGA, Lim Bak Phai, berkata pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebanyak 15,756 kilogram produk daging khinzir sejuk beku.
Turut dirampas pelbagai peralatan pemprosesan daging serta kemudahan stor sejuk beku yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyimpanan dan pengedaran produk berkenaan.
Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan produk sejuk beku tanpa dokumen atau permit yang sah.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 9(1), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999,” katanya dalam satu kenyataan.