Chatbot AI tidak tepat beri nasihat kesihatan – Kajian

Foto hiasan janaan AI

PARIS, 10 Februari- Kajian baharu mendapati chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) tidak memberikan nasihat kesihatan lebih tepat berbanding kaedah tradisional seperti rujukan kepada doktor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chatbot AI tidak lebih tepat berbanding rujukan doktor atau sumber perubatan rasmi dalam memberi nasihat kesihatan.
  • Risiko termasuk diagnosis salah dan kegagalan mengenal pasti keperluan bantuan perubatan segera.
  • Penyelidik menggesa orang ramai bergantung kepada sumber sahih seperti perkhidmatan kesihatan rasmi.

Rebecca Payne dari Universiti Oxford, salah seorang penyelidik kajian itu menegaskan risiko penggunaan AI dalam kesihatan.

“Walaupun dipuji, AI masih belum sesuai mengambil peranan doktor. Pesakit perlu berhati-hati kerana bertanya tentang simptom kepada AI boleh berbahaya, memberi diagnosis salah dan gagal mengenal pasti bila bantuan kecemasan diperlukan,” katanya.

Kajian itu melibatkan hampir 1,300 peserta di United Kingdom yang diuji dengan 10 senario kesihatan termasuk sakit kepala selepas minum arak, keletihan ibu selepas bersalin dan simptom batu hempedu.

Peserta menggunakan salah satu daripada tiga chatbot AI – GPT-4o, Llama 3 atau Command R+ – atau enjin carian internet sebagai kumpulan kawalan.

Hanya kira-kira sepertiga peserta berjaya mengenal pasti masalah kesihatan mereka, manakala 45 peratus membuat keputusan tepat tentang apa perlu dilakukan seperti berjumpa doktor atau mengambil langkah pencegahan,” menurut jurnal Nature Medicine.

Penyelidik menjelaskan kegagalan itu berpunca daripada peserta tidak memberikan maklumat lengkap, salah faham atau mengabaikan nasihat chatbot.

David Shaw, pakar bioetika dari Universiti Maastricht pula menekankan kepentingan kajian itu kepada keselamatan awam.

“Kajian ini penting kerana menonjolkan risiko sebenar AI kepada kesihatan orang ramai,” katanya.

Shaw menasihatkan orang ramai supaya hanya mempercayai maklumat daripada sumber sahih seperti UK National Health Service. -AFP