
KANGAR, 5 Februari – Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2025 menjadi milik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) manakala Piala Presiden Woodball Perlis 2025 dirangkul Jabatan Pendidikan Negeri Perlis pada Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra.
- UniMAP dinobat juara Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2025.
- Jabatan Pendidikan Negeri Perlis memenangi Piala Presiden Woodball Perlis 2025.
- 47 pasukan jabatan kerajaan, persekutuan dan GLIC menyertai kejohanan.
- Kejohanan tahunan bertujuan memperkasakan pembangunan woodball dan mengeratkan silaturahim.
Naib johan bagi kedua-dua piala berkenaan masing-masing menjadi milik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Arau dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis.
Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin memaklumkan, Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Piala Presiden Woodball Perlis 2025 merupakan kejohanan tahunan berprestij anjuran Persatuan Woodball Negeri Perlis.
“Ia bertujuan memperkasakan pembangunan sukan woodball di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan jabatan kerajaan serta agensi berkaitan di negeri Perlis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) 2025 di Dataran Woodball Datuk Sheikh Ahmad, di sini yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sebanyak 47 pasukan terdiri jabatan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLIC) menyertai kejohanan berkenaan.
Kejohanan itu telah dilaksanakan bermula 1 Oktober 2025 hingga 24 Januari 2026 dan berlangsung di dua lokasi utama iaitu Laman Woodball UiTM Cawangan Arau serta Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP.