Terengganu sasar tiga terbaik SUKMA Selangor 2026

Majlis Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat Sukan dan Jabatan Angkat Sukan Kontinjen Terengganu sempena SUKMA ke-22 Selangor 2026

KUALA NERUS, 5 Februari – Kerajaan negeri menyasarkan kedudukan tiga terbaik keseluruhan bagi kontinjen Terengganu pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang akan berlangsung di Selangor pada tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terengganu mensasarkan kedudukan tiga terbaik keseluruhan pada SUKMA Selangor 2026.
  • Kontinjen akan menyertai 35 daripada 37 acara dengan kira-kira 500 atlet dalam senarai awal.
  • Fokus pada pemantapan pasukan melalui latihan tertutup, penyertaan kejohanan dan pengagihan peruntukan awal RM5 juta.

Persiapan kontinjen kini giat dijalankan dengan peruntukan awal kira-kira RM5 juta disediakan kerajaan negeri, namun agihan bagi acara sukan yang disertai masih dalam proses pemuktamadan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Syahrizal Yahaya berkata, kontinjen Terengganu akan menyertai 35 daripada 37 acara sukan yang dipertandingkan pada SUKMA Selangor 2026.

Kira-kira 500 atlet berada dalam senarai awal, membabitkan gabungan atlet berpengalaman dan bakat muda, termasuk kira-kira 40 peratus atlet yang pernah beraksi pada SUKMA lalu.

Menurut beliau, sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu adalah sekurang-kurangnya berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

“Ketika ini, kita masih di peringkat akhir menentukan sasaran pingat bagi kontinjen SUKMA. Seramai kira-kira 500 atlet berada dalam senarai awal dan Terengganu akan menyertai 35 daripada 37 acara sukan yang dipertandingkan.

“Kita tidak menyertai acara catur dan bola keranjang kerana kedua-duanya masih dalam fasa pembangunan. Fokus utama kini adalah memantapkan pasukan, menambah penyertaan kejohanan serta mengadakan latihan tertutup bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat Sukan dan Jabatan Angkat Sukan Kontinjen Terengganu sempena SUKMA ke-22 Selangor 2026 di Gong Badak, di sini.

Terdahulu, majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut memperkenalkan Datuk Rosli Latif, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) sebagai Ketua Kontinjen Terengganu ke SUKMA kali ini.

Beliau dibantu oleh Datuk Jusman Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri Ladang, Zuraida Md. Nor yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan