
PORT DICKSON, 4 Februari – Masyarakat disaran kekal mengambil langkah kawalan kendiri bagi mencegah daripada terkena sebarang jangkitan virus, khususnya jangkitan virus Nipah yang kini sedang menular di beberapa buah negara.
- Kekal ambil langkah kawalan kendiri untuk mencegah jangkitan virus, terutamanya Nipah.
- Elakkan tempat berisiko dan pakai pelitup separuh muka jika bergejala.
- Amalkan gaya hidup sihat dan tingkatkan kebersihan diri, keluarga serta tempat tinggal.
Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menasihatkan orang ramai perlu mengelakkan diri daripada berada di tempat berisiko, selain memakai pelitup separuh muka sekiranya bergejala.
Beliau turut menyokong langkah kerajaan melaksanakan saringan kesihatan di pintu-pintu masuk utama negara bagi membendung penularan virus itu di negara ini.
“Apa yang penting ialah kita pastikan kita hidup secara gaya hidup dengan sihat dan pastikan kita sentiasa jaga kebersihan Itu yang satu yang kita boleh tingkatkan oleh setiap individu dan keluarga,” katanya kepada pemberita, selepas menghadiri Majlis Perasmian Centre For Medical Education And Training (CMET) di Port Dickson.
Masyarakat juga perlu sentiasa meningkatkan kesedaran diri dalam menjaga kebersihan diri, keluarga dan tempat tinggal, agar mewujudkan komuniti yang terpelihara daripada sebarang penyakit.