Wanita disyaki pengedar dadah maut kereta terbabas ketika dikejar polis

FOTO RTM

ALOR SETAR, 3 Februari – Seorang wanita disyaki pengedar dadah maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada polis di Alor Setar, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wanita disyaki pengedar dadah maut selepas kereta terbabas ketika melarikan diri daripada polis.
  • Polis menemui 210 gram bahan disyaki heroin di lokasi kejadian.
  • Pemandu berusia 37 tahun dan penumpang berusia 33 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku apabila pihak polis cuba menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, suspek bertindak memecut kenderaan bagi melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar.

“Ketika dikejar, kereta dinaiki suspek hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang di tengah jalan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat, suspek yang berada di tempat duduk hadapan penumpang tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakannya yang memandu kenderaan tersebut pula mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua suspek warga tempatan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Dalam pemeriksaan di lokasi kejadian, polis turut menemui satu plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 210 gram.

ACP Syed Basri berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta berusia 37 tahun mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes narkotik.

Manakala rakannya yang berusia 33 tahun mempunyai tiga rekod lampau berkaitan narkotik serta satu kes jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan