Howe yakin Tonali tidak akan tinggalkan Newcastle

Aksi Newcastle United dalam salah satu perlawanan Liga Inggeris (EPL) musim ini/REUTERS

LONDON, 3 Februari – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe, yakin bintang kelab itu, Sandro Tonali tidak akan cuba memaksa perpindahan keluar daripada kelab itu meskipun pemain antarabangsa Itali berkenaan dikaitkan dengan Arsenal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Howe yakin Sandro Tonali tidak akan paksa perpindahan meskipun dikaitkan dengan Arsenal.
  • Howe puji komitmen, kebahagiaan dan hubungan baik Tonali bersama kelab serta rakan sepasukan.
  • Newcastle terhad berbelanja akibat peraturan kelestarian kewangan, jadi mereka menunda aktiviti perpindahan.
  • Howe kecewa tiada penambahan pemain namun yakin pasukan boleh bangkit menentang Manchester City.

Spekulasi mengenai perpindahan mengejut pada hari terakhir jendela perpindahan ke Arsenal pada Isnin lalu pantas dinafikan, susulan laporan media Itali yang mendakwa wakil Tonali telah menghubungi kelab London itu.

Persiapan Newcastle sebelum ini terjejas akibat isu melibatkan Alexander Isak, yang akhirnya memaksa perpindahan bernilai rekod Liga Perdana Inggeris £125 juta ke Liverpool pada September lalu.

Ditanya sama ada beliau bimbang situasi sama akan berulang melibatkan Tonali pada jendela perpindahan musim panas nanti, Howe menyatakan keyakinannya terhadap komitmen pemain berusia 25 tahun itu.

“Saya tidak fikir begitu, walaupun banyak perkara boleh berlaku tanpa pengetahuan saya,” kata Howe pada Selasa.

“Setahu saya, kami mempunyai seorang pemain yang bukan sahaja cemerlang di atas padang, malah seorang insan yang luar biasa.

“Dia sangat gembira di sini, mempunyai hubungan baik dengan saya dan rakan sepasukan, dan kelihatan benar-benar selesa. Jadi, perkara itu akan mengejutkan saya”, ujar Howe.

“Namun, pemain terbaik kami sentiasa menarik minat kelab lain, itu realiti dunia bola sepak.

“Kami mahu mengekalkan kumpulan ini, terus maju, dan sudah tentu Sandro adalah sebahagian daripada perancangan itu untuk mencapai tahap terbaiknya serta membantu pasukan”, tambahnya.

Dalam pada itu, Howe tidak menyembunyikan kekecewaannya kerana gagal menambah kekuatan skuad pada jendela perpindahan, meskipun Newcastle berdepan masalah kecederaan dan jadual padat dengan penyertaan dalam empat kejohanan musim ini.

Meskipun disokong dana mewah Arab Saudi, keupayaan Newcastle untuk berbelanja terhad oleh peraturan kelestarian kewangan.

“Kami sebenarnya tiada pilihan lain,” katanya.

“Kami hanya aktif dalam satu jendela perpindahan dalam tempoh empat atau lima musim yang lalu. Kami berada di bawah kekangan kewangan dan perlu bertindak dengan bijak, sebab itu kami memilih untuk menunggu sehingga musim panas”, jelas Howe.

Sementara itu, usaha Newcastle mempertahankan kejuaraan Piala Liga berada di ambang penyingkiran menjelang perlawanan separuh akhir timbal balik menentang Manchester City di tempat lawan, Rabu ini.

Juara bertahan itu perlu bangkit daripada kekalahan 2-0 pada perlawanan pertama menentang pasukan kendalian Pep Guardiola.

“Ia akan menjadi cabaran besar, dan tiada cabaran lebih sukar daripada berdepan Manchester City di tempat lawan,” ujar Howe.

“Namun kami percaya kepada diri sendiri dan akan memberikan yang terbaik”, tegas Howe. – AFP

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan