FBM KLCI dijangka kekal kukuh disokong lantunan saham perbankan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Februari – Kenaikan semula saham perbankan memberi petunjuk bahawa Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkemungkinan telah melepasi fasa pembetulan, dengan trend menaik pasaran kembali kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saham perbankan meningkat, menyokong pemulihan FBM KLCI selepas fasa pembetulan.
  • Maybank IB jangka FBM KLCI bergerak antara 1,730 hingga 1,750 mata hari ini.
  • Paras sokongan diunjur kekal pada 1,685 dan 1,640 mata.
  • Sektor pembinaan menguji sokongan penting dengan risiko aliran menurun jika jatuh lebih rendah.

Prestasi positif itu menjadikan kaunter perbankan sebagai sektor berprestasi terbaik ketika ini, selepas FBM KLCI susut lebih 2.7 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa sebelum ini.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan indeks penanda aras itu bergerak dalam julat 1,730 hingga 1,750 mata bagi dagangan hari ini.

”Paras sokongan pula diunjur kekal pada 1,685 mata dan 1,640 mata.

”Sementara itu, sektor pembinaan kini sedang menguji paras sokongan penting, dengan risiko aliran menurun sekiranya ia mencecah paras lebih rendah,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.

Pada penutup dagangan Jumaat lalu, FBM KLCI meningkat 9.99 mata atau 0.58 peratus kepada 1,740.88 mata.

Peningkatan didorong kenaikan saham perbankan utama termasuk Hong Leong Bank Bhd (HLBANK), RHB Bank Bhd (RHBBANK) dan CIMB Group Holdings Bhd (CIMB).

Bagaimanapun, sentimen pasaran keseluruhan kekal berhati-hati apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung, dengan 624 kaunter mencatatkan penurunan berbanding 446 yang meningkat.