N. Sembilan komited sokong usaha pelbagai agensi perkasa usahawan

Foto hiasan

SEREMBAN, 29 Januari – Kerajaan Negeri Sembilan terus komited menyokong usaha pelbagai agensi dalam memperkasa usahawan tempatan bagi memacu pertumbuhan ekonomi rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri komited terus sokong inisiatif agensi seperti FAMA bagi memperluas peluang keusahawanan tempatan.
  • Perluasan cawangan F&B dan francais membantu wujudkan persaingan sihat serta kukuhkan jenama tempatan.
  • Sokongan Kerajaan Persekutuan dan insentif kementerian penting untuk galakkan lebih ramai menjadi usahawan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif yang dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat membuka peluang kepada usahawan untuk menceburi bidang perniagaan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman (F&B) yang semakin mendapat permintaan.

“Ini merupakan satu usaha yang baik dan saya berharap ia dapat diteruskan. FAMA perlu bertindak lebih segera untuk menambah bilangan francais atau outlet sedia ada, supaya memberi peluang kepada anak-anak muda menjadi usahawan berjaya pada masa hadapan.

“Hari ini, persaingan bukan sahaja melibatkan produk tempatan, tetapi juga produk luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Outlet Kopiesatu di Dataran Senawang di sini.

Pertambahan cawangan perniagaan tempatan dalam sektor makanan dan minuman mampu mewujudkan persaingan yang sihat, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama tempatan dalam pasaran.

Dalam pada itu, Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli menyambut baik sokongan berterusan Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan dalam memperluas peluang keusahawanan kepada rakyat.

“Kami amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak kerana ini merupakan peluang terbaik. Selain itu, insentif yang menarik juga akan disediakan, khususnya daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Peluang ini wajar direbut oleh semua pihak. Alhamdulillah, pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan telah banyak memberikan sokongan,” katanya.