
GEORGE TOWN, 29 Januari – Keputusan melibatkan bantuan khas asnaf serta perolehan tanah menggunakan dana tawaqquf iaitu dana lebihan zakat yang terkumpul dibuat secara telus, berlandaskan hukum syarak dan mematuhi prinsip tadbir urus baik.
- Keputusan penggunaan dana tawaqquf untuk bantuan asnaf dan pembelian tanah dibuat telus, berlandaskan hukum syarak dan tadbir urus baik.
- Penerima adalah asnaf miskin berdaftar, diluluskan berdasarkan keperluan kesihatan kritikal dan tanggungan keluarga.
- Fatwa dan jawatankuasa agama membenarkan pembelian tanah untuk pembangunan asnaf, bukan untuk tujuan sewaan.
Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Roshidi Hussain menegaskan, perkara itu sekali gus menafikan tohmahan tular di media sosial, yang disifatkan berniat jahat dan menjejaskan reputasi institusi agama negeri.
“Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat Bilangan 4 Tahun 2025 telah meluluskan penyelesaian baki hutang selebihnya melalui skim asnaf gharimin, dengan bayaran dibuat terus ke akaun pembiayaan atas nama isteri arwah. Ini merupakan penegasan kami.
“Dari sudut pengurusan, keputusan ini dibuat secara rasional bagi menjamin kediaman dan kelangsungan hidup keluarga, selari dengan maqasid syariah, khususnya dalam memperkukuh pemilikan tanah umat Islam serta pembangunan yang memberi manfaat kepada asnaf.
“Selain itu, tadbir urus transaksi dilaksanakan secara telus dan tidak melebihi nilai pasaran semasa. Keputusan fatwa sebelum ini juga telah diperincikan melalui perbincangan dalam mesyuarat MAINPP, dengan penjelasan daripada Sahibbus Samahah Datuk Mufti,” katanya dalam satu sidang media khas di Ibu pejabat MAINPP, di sini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Khairi Ghazali dan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Penerima merupakan asnaf miskin berdaftar sejak Ogos 2023 serta menerima bantuan zakat bulanan dan bantuan penyelesaian baki pinjaman perumahan diluluskan berdasarkan keadaan kesihatan kritikal penerima yang menghidap penyakit jantung dan strok, selain mempunyai tanggungan termasuk pesakit buah pinggang, dengan baki pencen yang amat terhad.
Manakala bagi proses cadangan penjualan telah bermula sejak Januari 2021 dan melalui beberapa peringkat siasatan serta penilaian termasuk Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Tanah terlibat melibatkan tiga lot berdekatan dan dibeli menggunakan dana itu selaras dengan keputusan MAINPP bagi memperkukuhkan pemilikan aset umat Islam serta pembangunan untuk manfaat asnaf.
Sementara itu, Dr Mohd Sukki menegaskan bahawa Al-Gharimin merupakan salah satu daripada lapan kategori asnaf dan bukan semua individu berhutang layak dikategorikan sebagai Al-Gharimin, sebaliknya hanya mereka yang benar-benar tidak mampu meneruskan kehidupan tanpa penyelesaian hutang.
Penggunaan dana tawaqquf bagi pembelian tanah untuk pembangunan asnaf adalah harus, selaras dengan panduan dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang. Bagaimanapun Jawatankuasa Fatwa tidak bersetuju sekiranya tanah tersebut dibeli semata-mata untuk tujuan sewaan.
“Sehubungan itu, dari sudut hukum syarak, tiada sebarang isu timbul. Dari aspek tatakelola pula, perkara ini telah dibincangkan dan dipersetujui di peringkat lembaga pengarah untuk melaksanakan pembayaran bagi melangsaikan hutang berkenaan.
“Justeru, saya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu sama ada dari sudut tadbir urus mahupun hukum syarak. Malah, Jawatankuasa Fatwa turut menetapkan garis panduan yang membolehkan kaedah ini digunakan bagi pembelian tanah dengan tujuan pembangunan dan manfaat kepada golongan asnaf,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, bagi mendesak siasatan dijalankan berhubung isu penggunaan wang zakat.
Pada 2025, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang di-Pertua MAINPP telah memberikan penjelasan rasmi berhubung perkara itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang selepas isu berkenaan dibangkitkan.