Suhu cecah 48.9 darjah Celsius, Australia dilanda gelombang haba ekstrem

Penduduk cuba menyejukkan diri dengan berada di pantai / REUTERS

MELBOURNE, 27 Januari -Gelombang haba melampau yang melanda tenggara Australia hari ini meningkatkan ancaman kebakaran hutan, apabila negeri Victoria berdepan suhu tertinggi pernah direkodkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gelombang haba ekstrem digabungkan dengan angin kencang meningkatkan tahap bahaya kebakaran hutan secara signifikan.
  • Kebakaran di Otways telah memusnahkan kira-kira 10,000 hektar dan merebak dengan pantas.
  • Ratusan penduduk diarahkan berpindah dan komuniti diminta terus berwaspada kerana situasi dijangka berterusan.

Suhu di beberapa bandar pedalaman, termasuk Walpeup dan Hopetoun, dilaporkan mencecah sehingga 48.9 darjah Celsius.

Cuaca panas melampau itu memburukkan lagi insiden kebakaran hutan yang merebak pantas di wilayah Otways dan telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 10,000 hektar.

Haba ekstrem dan angin kencang membuatkan pasukan kecemasan terpaksa bergelut mengawal kebakaran.

Susulan situasi berbahaya itu, ratusan penduduk di beberapa kawasan luar bandar diarahkan berpindah.

Di kawasan pantai seperti Lorne, orang ramai dilihat mengambil kesempatan berada di tepi laut bagi mengurangkan kepanasan, namun tetap bersedia sekiranya diarahkan berpindah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan Victoria, Tim Wiebusch berkata, hari ini merupakan tempoh paling berisiko susulan gabungan suhu melampau dan angin yang kuat.

“Hari ini sangat kritikal. Gelombang haba yang ekstrem, ditambah dengan angin kencang, mewujudkan tahap bahaya kebakaran yang amat tinggi,” katanya dalam satu sidang media.

Jelas beliau, keadaan itu dijangka berterusan beberapa hari lagi, khususnya di kawasan utara Victoria, dengan komuniti setempat diminta terus berwaspada. -REUTERS