India–EU umum perjanjian perdagangan mega selepas 20 tahun rundingan

Perdana Menteri India, Narendra Modi (tengah) bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen (kanan) dan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa (kiri) / AFP

NEW DELHI, 27 Januari -India dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengumumkan perjanjian perdagangan terbesar antara kedua-dua pihak, dalam pertemuan peringkat tertinggi di ibu negara India, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian perdagangan dirunding hampir dua dekad akhirnya dimuktamadkan, membuka peluang ekonomi besar antara India dan EU.
  • Perjanjian melibatkan pasaran mewakili sekitar 25 peratus KDNK global dan hampir sepertiga perdagangan dunia.
  • Manfaat dijangka dinikmati 1.4 bilion rakyat India dan ratusan juta penduduk negara-negara EU.
  • India dan EU lihat antara satu sama lain sebagai rakan strategik untuk teknologi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, perjanjian yang dimuktamadkan selepas hampir dua dekad rundingan itu bakal membuka peluang ekonomi besar.

Menurut beliau, perjanjian berkenaan melibatkan pasaran yang mewakili kira-kira 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global serta hampir satu pertiga perdagangan dunia.

Modi berkata, perjanjian itu memberi manfaat kepada 1.4 bilion penduduk India serta ratusan juta rakyat di negara-negara EU, selain memperkukuh kedudukan ekonomi kedua-dua pihak di tengah-tengah persaingan global.

Pemimpin EU yang diketuai Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Modi pada Selasa.

EU melihat India sebagai pasaran strategik masa depan, khususnya susulan perubahan landskap ekonomi global melibatkan Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, New Delhi pula menganggap EU sebagai rakan penting bagi mendapatkan teknologi, pelaburan serta sokongan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur dan penciptaan peluang pekerjaan. -AFP