
AYER KEROH, 17 Januari – Jualan Rahmah MADANI akan dianjurkan tiga kali sebulan di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka bermula tahun ini, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha berterusan meringankan kos sara hidup rakyat.
- Jualan Rahmah MADANI dianjurkan tiga kali sebulan di semua 28 DUN Melaka mulai tahun ini.
- Program diberi fokus untuk meringankan kos sara hidup dan membantu golongan B40.
- Harga barangan ditawarkan sekitar 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran.
- Lebih 900 program telah dianjurkan tahun lalu termasuk siri sempena perayaan utama.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Melaka, Allex Seah Shoo Chin berkata, pelaksanaan berkenaan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai, khususnya golongan B40, untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Kita melihat program Jualan Rahmah MADANI sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, khususnya golongan B40 yang memerlukan. Tahun ini, sekurang-kurangnya setiap DUN akan menganjurkan tiga program sebulan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
“Melalui program ini, pengguna dapat menikmati harga barangan yang lebih rendah, iaitu sekitar 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Porsche di Dataran Sejarah, di sini.
Pelaksanaan program secara menyeluruh itu dilihat memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan asas.
Sepanjang tahun lalu, lebih 900 program Jualan Rahmah MADANI berjaya dianjurkan di Melaka, termasuk siri khas sempena perayaan utama seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.