Musim baharu F1: Verstappen teruja uji jentera Red Bull

Barisan kepimpinan dan pelumba Oracle Red Bull Racing memperkenalkan ‘livery’ musim 2026 dalam majlis pelancaran pasukan di Detroit, Amerika Syarikat, 15 Januari 2026/Foto AFP

DETROIT, 16 Januari – Juara dunia Formula Satu (F1) empat kali, Max Verstappen menyatakan keterujaannya untuk menguji jentera baharu Red Bull yang diperkenalkan semalam menjelang musim 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Verstappen teruja untuk menguji jentera Red Bull baharu dengan perubahan aerodinamik dan enjin 2026.
  • Peraturan 2026 membawa kereta lebih kecil, ringan dan lebih kuasa elektrik dalam unit hibrid.
  • Penyesuaian penting untuk memahami potensi kereta dan mencari titik prestasi terbaik.
  • Red Bull kini guna enjin sendiri hasil kerjasama dengan Ford, menggantikan peranan Honda.

Red Bull memperkenalkan corak livery kereta baharu mereka di hadapan ratusan tetamu di Michigan Central Station, Detroit kurang dua bulan sebelum tirai musim 2026 dibuka di Melbourne pada 7 Mac.

Peraturan baharu 2026 menyaksikan perubahan ketara dari segi aerodinamik dengan saiz kereta yang lebih kecil dan ringan, selain pengubahsuaian spesifikasi enjin bagi meningkatkan sumbangan kuasa elektrik dalam unit hibrid.

“Terdapat banyak perkara yang masih belum diketahui. Perubahan besar melibatkan enjin dan kereta.

“Saya akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri ketika sesi ujian. Motivasi saya sangat tinggi,” kata Verstappen.

Menurut pelumba dari Belanda itu, proses penyesuaian adalah penting bagi memahami potensi sebenar jentera.

“Ia mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri. Anda perlu tahu di mana prestasi terbaik boleh diperoleh dan berasa selesa dalam kereta termasuk dengan enjin baharu,” menurutnya.

Red Bull sebelum ini menggunakan enjin Honda, namun membuat keputusan berani pada 2023 untuk membangunkan enjin sendiri bagi musim 2026 menerusi kerjasama dengan gergasi automotif Amerika Syarikat, Ford yang kembali ke F1 selepas 22 tahun.

Rekod empat kejuaraan dunia berturut-turut Verstappen berakhir tahun lalu apabila pelumba McLaren, Lando Norris merangkul gelaran.

Namun, Verstappen tetap mempamerkan prestasi cemerlang dengan meraih lapan kemenangan, lebih banyak daripada Norris dan rakan sepasukannya, Oscar Piastri.

Musim ini, Verstappen akan digandingkan dengan pelumba Perancis, Isack Hadjar yang dinaikkan ke kerusi nombor dua Red Bull selepas musim rookie yang memberangsangkan bersama Racing Bulls. – AFP

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan