Volvo Cars henti operasi kilang bateri, 75 pekerja diberhentikan

Foto AFP

STOCKHOLM, 13 Januari– Pengeluar kereta Sweden, Volvo Cars menghentikan operasi di kilang bateri yang sedang dibina dan menamatkan khidmat 75 pekerja selepas gagal mencari rakan kongsi perniagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Volvo Cars hentikan operasi kilang bateri yang sedang dibina di Gothenburg.
  • 75 pekerja diberhentikan susulan kegagalan mencari rakan kongsi perniagaan.
  • Volvo mengambil alih NOVO Energy selepas Northvolt muflis tahun lalu.

Syarikat automotif itu yang dimiliki sebahagian besar oleh konglomerat China, Geely, mengambil alih sepenuhnya NOVO Energy tahun lalu selepas bekas rakan kongsi, pembuat bateri Northvolt muflis pada Mac.

Kegagalan Northvolt menyorot cabaran pengeluar bateri Kesatuan Eropah (EU) menghadapi kos tinggi dan persaingan dari China.

Menurut Volvo, “Sehingga rakan kongsi teknologi baru ditemui, NOVO Energy tidak boleh meneruskan operasi seperti dirancang.”

Syarikat itu menegaskan ia masih mengekalkan aspirasi jangka panjang untuk menghasilkan bateri kereta elektrik di kawasan Gothenburg, Sweden, tetapi tidak dapat menyatakan bila pengeluaran boleh bermula. -AFP