Program pembangunan bola sepak negara di landasan tepat

Fokus utama NFDP adalah pembangunan jangka panjang pemain./FAM

GAMBANG, 13 Januari – Program pembangunan bola sepak peringkat remaja negara kini berada di landasan yang dirancang, dengan semua jurulatih memulakan tugas selaras dengan hala tuju ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • NFDP fokus pada pembangunan jangka panjang pemain melalui penilaian berperingkat tanpa tergesa-gesa.
  • Jurulatih berpengalaman dijadikan teras program untuk meningkatkan kualiti dan impak pembangunan pemain.
  • Tempoh enam bulan pertama untuk nilai pelaksanaan; sasaran layak ke Piala Asia B-17 dan akhirnya Piala Dunia B-17.

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu, Datuk Ong Kim Swee berkata, fokus utama ketika ini adalah pembangunan jangka panjang pemain.

Justeru tegasnya, penilaian terhadap bakat muda perlu dilakukan secara berperingkat dan tidak tergesa-gesa.

Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee./FAM

“Pembangunan ini penting untuk kita menilai setiap individu dengan satu jangka waktu yang agak lama di mana kita tidak boleh terburu-buru untuk menentukan pemain mana akan mewakili negara atau yang akan kekal bersama pasukan masing-masing.

“Proses ini pasti akan mengambil sedikit masa dan dengan adanya jurulatih-jurulatih berpengalaman, saya yakin ia akan memberi impak berlainan,” katanya seperti dipetik dalam temu ramah FAMTV.

Beliau berkata, kesemua jurulatih berkenaan pernah mengendalikan pasukan remaja sebelum ini dan memiliki rekod yang baik, selain berkongsi misi yang sama dalam pembangunan pemain.

Program NFDP diperkuat dengan jurulatih-jurulatih berpengalaman negara./FAM

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kesinambungan program pembangunan yang sebelum ini dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan diteruskan, dengan penambahbaikan dibuat dari semasa ke semasa.

Katanya, tempoh enam bulan pertama akan digunakan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan program, sebelum pembentukan DNA dan corak permainan bola sepak Malaysia dimantapkan.

Selain aspek teknikal, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan mental dan keupayaan membuat keputusan pantas dalam kalangan pemain, selari dengan keperluan bola sepak moden.

Tempoh 6 bulan pertama bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program NFDP./FAM

Mengulas mengenai sasaran, beliau berkata, fokus jangka pendek adalah memastikan pasukan berada pada landasan yang betul serta mengurangkan jurang prestasi dengan pasukan Asia Tenggara.

“Dalam setahun hingga tiga tahun ini juga,kita ingin layak ke Piala Asia B-17 dan seterusnya matlamat utama kita adalah untuk layak ke Piala Dunia B-17 pada masa akan datang.

“Sudah pasti ini memerlukan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan