
KELANA JAYA, 13 Januari – Skuad futsal kebangsaan mula menjalani latihan di Arena Futsal FAM, sebagai persiapan menghadapi Piala Asia Futsal 2026 yang dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 27 Januari hingga 7 Februari 2026.
- Latihan intensif seminggu di Arena Futsal FAM sebagai persiapan akhir sebelum berlepas ke Jakarta.
- 18 pemain ambil bahagian selepas dua pemain direhatkan akibat kecederaan.
- Perlawanan persahabatan antarabangsa dirancang untuk tingkatkan kecergasan dan keserasian taktikal.
- Matlamat mara ke suku akhir dan ukur kemajuan program futsal negara di Piala Asia 2026.
Kem latihan tersebut disertai 18 pemain daripada senarai awal 20 yang dipanggil, selepas dua pemain iaitu Syahir Iqbal Khan Akhar Khan dan Muhammad Haiqal Hasnor terpaksa direhatkan akibat kecederaan.

Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal memaklumkan, pasukan negara akan menjalani latihan intensif selama seminggu sebelum berlepas ke Jakarta pada 17 Januari.
Usaha tersebut bagi meneruskan fasa persiapan terakhir, termasuk mengharungi beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan antarabangsa.
Persiapan rapi itu juga penting bagi memastikan tahap kecergasan, keserasian dan kefahaman taktikal pemain berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan utama Asia tersebut.
Pada saingan Kumpulan D, Malaysia dijadual membuka kempen menentang Iran pada Rabu, 28 Januari di Jakarta International Velodrome, sebelum berdepan Afghanistan pada Jumaat, 30 Januari di venue sama.
Skuad negara kemudian akan menutup saingan kumpulan apabila menentang Arab Saudi di Indonesia Arena pada Ahad, 1 Februari 2026.
Menghadapi kumpulan yang mencabar, skuad futsal Harimau Malaya hadir dengan misi besar untuk menamatkan penantian panjang mara ke peringkat suku akhir.
Ia susulan pasukan negara terkandas di peringkat kumpulan dalam 12 penampilan di pentas Piala Asia Futsal sejak penyertaan sulung pada 1999.
Piala Asia Futsal 2026 dilihat sebagai platform penting untuk mengukur kemajuan program futsal negara, selain membuka peluang kepada barisan pemain sedia ada membuktikan kemampuan bersaing dengan kuasa besar Asia.