Sukan SEA 2027: Sarawak sedia khidmat penterjemah

Perasmian majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak/Foto UKAS

KUCHING, 18 September – Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027 akan menyediakan khidmat penterjemah serta pegawai penghubung bagi membantu kontinjen negara lain yang mungkin tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kompleks Sukan Sarawak dijangka menjadi lokasi utama acara dan menampilkan elemen festival seperti Malaysian Kitchen serta jualan produk tempatan.
  • Pendekatan penganjuran bertujuan mewujudkan suasana meriah sepanjang temasya dan memberi peluang kepada usahawan mempamer serta menjual produk.
  • Pembangunan International Broadcasting Centre bersebelahan Baitulmakmur berjalan lancar dan lebih awal daripada jadual bagi memastikan maklumat disalurkan pantas.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata khidmat berkenaan penting bagi memastikan setiap kontinjen mendapat bantuan dan panduan sepanjang penyertaan mereka pada temasya sukan berkenaan.

“Sudah tentu kita perlu menyediakan penterjemah kerana terdapat beberapa negara di Asia Tenggara yang mungkin tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Pegawai penghubung yang akan mengurus dan menjaga setiap kontinjen juga akan berada di situ untuk membantu dan membimbing mereka,” katanya selepas merasmikan majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, malam Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Kompleks Sukan Sarawak bukan sahaja akan menjadi antara lokasi utama acara sukan, malah turut menampilkan elemen festival termasuk Malaysian Kitchen serta jualan produk dan barangan.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan mewujudkan suasana lebih meriah sepanjang Sukan SEA selain memberikan peluang kepada usahawan mempamerkan dan menjual produk serta barangan mereka.

“Pembangunan International Broadcasting Centre (IBC) yang terletak bersebelahan dengan bangunan Baitulmakmur juga berjalan lancar dan difahamkan lebih awal daripada jadual.

“Kita fokus kepada perkara ini supaya data dan maklumat mudah disalurkan kepada negara-negara terlibat kerana mereka juga mahu melihat apa yang berlaku setiap masa,” katanya.

Sukan SEA ke-34 akan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept 2027. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.