Program NFDP bagi tahun 2026 kini bermula

Program NFDP 2026 mulakan sesi latihan rasmi di AMD, Gambang/ FAM

GAMBANG, 13 Januari – Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi musim 2026 membuka tirainya dengan sesi latihan rasmi pertama di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di sini semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 198 pelatih dipilih dari seluruh negara dan dibahagikan kepada lima pasukan peringkat umur.
  • FAM mengambil alih aspek teknikal NFDP untuk memperkukuh kesinambungan laluan pembangunan pemain.
  • Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP, membawa pengalaman luas pembangunan pemain muda.
  • Barisan jurulatih berpengalaman ditugaskan bagi setiap kategori umur untuk musim 2026.

Sesi latihan itu menandakan permulaan fasa baharu pembangunan bakat akar umbi bola sepak negara.

Seramai 198 pelatih dipilih dari seluruh negara dan dibahagikan kepada lima pasukan peringkat umur.

Seramai 198 pelatih dibahagikan kepada lima pasukan peringkat umur/ FAM

Pasukan AMD Bawah 13 tahun membabitkan 39 pelatih, manakala AMD B-14 seramai 42 pelatih dan AMD B-15 (37 pelatih).

Selain pasukan AMD B-16 yang terdiri daripada 37 pelatih serta AMD B-17 pula membabitkan 43 pelatih.

NFDP yang menjadi teras pembangunan pemain muda negara kini memasuki lembaran baharu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil alih aspek teknikal program tersebut.

Ia selari dengan usaha memperkukuh kesinambungan laluan pembangunan pemain daripada peringkat akar umbi ke pentas profesional dan kebangsaan.

Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee (kiri)/ FAM

Pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal NFDP dilihat sebagai langkah strategik, berbekalkan pengalaman luas beliau dalam pembangunan pemain muda serta pengendalian pasukan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Bagi musim ini, barisan kejurulatihan turut dibarisi nama-nama berpengalaman dalam bola sepak tempatan, dengan Hassan Sazali Waras mengetuai skuad AMD B-13, Rusdi Suparman (AMD B-14), P. Maniam (AMD B-15), Shukor Adan (AMD B-16) dan Noor Zaidi Rohmat selaku ketua jurulatih AMD B-17.

NFDP yang menjadi teras pembangunan pemain muda negara./ FAM

Musim 2026 dijangka menjadi medan penting bagi menilai keberkesanan struktur baharu NFDP di bawah kendalian FAM, khususnya dalam melahirkan kumpulan pemain pelapis yang mampu mengisi skuad kebangsaan pada masa hadapan.