
BANGI, 12 Januari – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bakal menawarkan Latihan Induksi Keselamatan untuk Industri Pelancongan (SITI) secara percuma kepada 10,000 pekerja dalam industri pelancongan, termasuk pemandu, pengusaha, kontraktor serta kakitangan penyedia penginapan, bagi memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
- NIOSH tawar latihan SITI percuma kepada 10,000 pekerja industri pelancongan untuk memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
- Peserta terima e-Card keselamatan digital sah dua tahun dan perlindungan insurans 24 jam, selari Akta KKP (Pindaan) 2022.
- Latihan tujuh jam, dalam talian atau bersemuka; pendaftaran dibuka 25 Januari di laman rasmi NIOSH.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, latihan itu akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM2.65 juta dan berlangsung selama tujuh jam sehari, sama ada secara dalam talian atau bersemuka.
“Bila soal keselamatan, tiada kompromi. Disebabkan itu, kita ambil pendirian ini dengan menganjurkan program SITI untuk melatih pekerja sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi ke ibu pejabat NIOSH di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Beliau menambah, peserta yang menamatkan program SITI akan menerima pasport keselamatan digital (e-Card) dengan tempoh sah laku dua tahun, selain perlindungan insurans 24 jam yang boleh digunakan di dalam dan luar negara.
“e-Card ini bukan sahaja membuktikan peserta telah mengikuti program SITI dan mempunyai perlindungan insurans, malah ia selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022,” katanya.
Pendaftaran program SITI akan dibuka mulai 25 Januari ini sehingga sasaran 10,000 peserta tercapai melalui laman sesawang rasmi NIOSH di www.niosh.com.my
Sementara itu, Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh berkata, program SITI akan memberi tumpuan kepada lima komponen utama iaitu pencegahan insiden, undang-undang dan peraturan KKP, hazard dan langkah keselamatan, kawalan risiko serta sesi penilaian.
Ramanan turut memaklumkan beberapa program lain turut dirangka bagi memperkasa KKP jangka panjang, termasuk program ‘Work Placement Improvement Need Analysis’ (WINA) secara percuma kepada 10,000 pekerja sektor Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) serta ‘Malaysian Research Initiative for National Agenda’ (MARINA) 3.0.
Secara keseluruhan, Kementerian Sumber Manusia menyasarkan untuk melatih 210,510 peserta tahun ini bagi memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pelbagai sektor di negara ini.