
KUCHING, 8 Januari – Seramai 48 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sini, pada Selasa.
- Pemeriksaan ke atas 96 individu di beberapa lokasi sasaran membawa kepada penahanan warga asing.
- Operasi mensasarkan kawasan komersial termasuk Kuching City Mall, Desa Ilmu dan Matang Hub.
- Suspek dipercayai menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
- Warga asing dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut; operasi penguatkuasaan akan diteruskan.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, ia hasil pemeriksaan ke atas 96 individu di beberapa lokasi sasaran yang dikenal pasti.
“Antara lokasi sasaran operasi adalah di sekitar Pusat Komersial Kuching City Mall, Pusat Perniagaan Desa Ilmu serta beberapa premis kedai makan di kawasan Matang Hub yang dipercayai menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah,” menurut kenyataan itu.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke pejabat imigresen berdekatan untuk siasatan lanjut.
JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.