Banjir Kelantan: Lebih 1,500 penduduk dipindahkan ke PPS

BACHOK, 23 November – Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,567 penduduk daripada 631 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di tiga jajahan.
  • Tumpat merekodkan jumlah terjejas terbanyak: 629 individu daripada 267 keluarga.
  • Bachok memindahkan 562 individu daripada 174 keluarga ke tiga PPS, termasuk SK Pa’ Pura baharu.
  • Kota Bharu menempatkan 367 individu daripada 190 keluarga di tujuh PPS, termasuk SK Islah terbaru.
  • Status sungai: Sungai Kelantan (Tambatan Diraja) dan Sungai Golok menunjukkan trend paras menurun.

Setakat pukul 6 pagi, seramai 1,567 penduduk daripada 631 keluarga telah dipindahkan ke 12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga jajahan yang terkesan.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatat jumlah penduduk terjejas paling ramai dengan 629 individu daripada 267 keluarga, yang kini ditempatkan di dua PPS iaitu SK Sri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2.

Di Bachok, sebanyak 562 individu daripada 174 keluarga dipindahkan ke tiga PPS melibatkan SK Pauh Sembilan, SK Jelawat dan PPS terbaharu dibuka iaitu SK Pa’ Pura.

Sementara itu, Kota Bharu turut mencatat peningkatan jumlah penduduk terjejas dengan 367 individu daripada 190 keluarga kini berlindung di tujuh PPS.

Antara yang terbaharu dibuka malam tadi ialah PPS SK Islah, yang menempatkan 40 individu daripada 11 keluarga.

Dalam pada itu, menurut portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai utama iaitu Sungai Kelantan di Tambatan Diraja Kota Bharu serta Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat menunjukkan trend menurun.