Belanjawan 2026 pamer langkah fiskal berhati-hati, inflasi kekal stabil

BANGI, 17 Oktober -Belanjawan 2026 memperlihatkan pelaksanaan dasar fiskal yang berhati-hati, selari dengan unjuran kadar inflasi yang dijangka kekal rendah antara 1.3% hingga 2% pada tahun hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2026 mengamalkan konsolidasi fiskal beransur-ansur sejajar sasaran inflasi jangka panjang sekitar 2.5%.
  • Penstrukturan subsidi, terutamanya RON95, dilaksanakan secara berhati-hati kerana impak besar kepada kos sara hidup.
  • Pengekalan bantuan tunai STR dan SARA dijangka meningkatkan kuasa beli serta merangsang sektor runcit, pembuatan dan perkhidmatan.
  • Belanjawan dijangka menyokong penciptaan pekerjaan selaras sasaran RMK13 sebanyak 700,000 pekerjaan baharu.
  • Tahun Melawat Malaysia 2026 dan insentif pelancongan dijangka memperkukuh ekonomi domestik dan menjana peluang pekerjaan.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dokumen kewangan itu menunjukkan kerajaan sedang melaksanakan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur, seiring dengan kadar inflasi jangka panjang Malaysia yang dianggarkan sekitar 2.5%.

“Pendekatan kerajaan seperti penstrukturan semula subsidi dilihat memberi kesan positif terhadap kestabilan inflasi. Dalam konteks RON95, penggunaannya sangat besar, iaitu sekitar 5% pemberat dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), berbanding diesel yang hanya 0.2%.

“Ini menunjukkan perubahan dasar subsidi perlu dilaksana dengan berhati-hati kerana impaknya besar dan ia menuntut perubahan yang beransur-ansur terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Persada –Belanjawan 2026 & RMK13: Dua Rencana Satu Matlamat.

Mengulas lanjut, Dr. Afzanizam berkata Belanjawan 2026 dijangka mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan, selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menyasarkan penciptaan 700,000 pekerjaan baharu.

Katanya, langkah mengekalkan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan meningkatkan kuasa beli rakyat dan merangsang aktiviti dalam sektor runcit, pembuatan dan perkhidmatan.

Ini sekali gus dapat memberi limpahan positif terhadap permintaan tenaga kerja.

Tambah beliau, Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26) juga akan memperkukuh ekonomi domestik menerusi peningkatan ketibaan pelancong asing yang diunjur mencecah 47 juta orang.

“Dalam sektor pelancongan, pelbagai insentif disediakan termasuk kepada pemandu teksi dan pengusaha pelancong. Insentif ini bukan sahaja merancakkan aktiviti pelancongan, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada sektor berkaitan,” katanya.