ANFIELD, 20 Oktober – Liverpool tewas tipis 1-2 terhadap Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri, awal pagi tadi.
- Kekalahan keempat berturut-turut Liverpool buat kali pertama dalam 11 tahun.
- Manchester United menang 2-1 di Anfield melalui jaringan awal Bryan Mbeumo.
- Cody Gakpo menyamakan kedudukan untuk Liverpool pada minit ke-78.
- Harry Maguire menjadi wira United dengan gol tandukan kemenangan.
- Liverpool tetap di tangga keempat (15 mata), Man United di tempat kesembilan (13 mata).
Sekali gus menjadi kekalahan keempat berturut-turut The Reds buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.
United membuka jaringan di Stadium Anfield seawal minit pertama menerusi pemain sayap berusia 26 tahun, Bryan Mbeumo.
Kelebihan itu bertahan sehingga ke lewat babak kedua permainan, sebelum Cody Gakpo berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-78.
Pemain pertahanan The Red Devils, Harry Maguire muncul wira United apabila menjaringkan gol kedua untuk pasukannya menerusi tandukan.
Meski tewas, Liverpool berada di kedudukan keempat dengan 15 mata hasil lima kemenangan, manakala Man United di tempat kesembilan selepas mengutip 13 mata.
“Ia sangat bermakna. Mereka lebih baik berbanding kami sejak beberapa tahun ini dan ia tidak bagus untuk kelab kami.
“Sudah lama kami tidak memberikan hasil sebegini untuk peminat, datang ke tempat ini dan mendapat tiga mata,” kata Maguire. – AFP