Banjir Muallim : 1 PPS tutup, penduduk terjejas berkurang

IPOH, 16 September – Jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Muallim, Perak, mencatatkan penurunan daripada 397 orang daripada 91 buah keluarga kepada 282 berikutan penutupan satu pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7, yang sebelum ini menempatkan 158 penduduk daripada 40 keluarga, telah ditutup sepenuhnya pukul 10 pagi tadi.

Setakat pukul 12.00 tengah hari, seramai 282 penduduk terjejas daripada 63 keluarga masih berlindung di empat PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir, Kampung Orang Asli Sungai Lembing Behrang Stesen, Dewan Serbaguna Kampung Pauh dan Sekolah Kebangsaan Kuala Slim.

Bagaimanapun, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, paras air di Stesen Sungai Slim, Slim River masih berada melebihi paras bahaya, dengan bacaan terkini 25.45 meter, berbanding paras normal 23.50 meter.

Sementara itu, di Hulu Perak, beberapa laluan utama dilaporkan turut terjejas antaranya di Jalan Pagar Keselamatan 2 yang hanya dibuka kepada kenderaan ringan, manakala FT077 Jalan Pengkalan Hulu–Betong dibuka satu lorong kepada semua kenderaan berikutan runtuhan.

Di Perak Tengah pula, A175 Jalan Selat Pulau–Pebayan dan A144 Jalan Pasir Garam–Pulau Tiga masih ditutup sepenuhnya selepas dinaiki air sedalam hampir satu meter.