
GAZA, 27 April – Rakyat Palestin mula menggunakan runtuhan perang bagi membaiki jalan yang musnah di Gaza, dalam usaha awal memulihkan kehidupan selepas konflik berpanjangan dengan Israel.
- UNDP guna semula konkrit dan besi daripada runtuhan untuk turapan jalan, penempatan sementara dan dapur komuniti.
- Risiko bahan letupan tidak meletup memerlukan pemeriksaan rapi bersama perkhidmatan pelupusan bahan letupan PBB.
- Pembersihan runtuhan boleh ambil sehingga tujuh tahun, dengan anggaran kos pembinaan semula AS$71.4 bilion.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi projek dikendalikan United Nations Development Programme, yang menyasarkan penggunaan semula konkrit dan logam daripada runtuhan bangunan sebagai bahan turapan jalan.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha praktikal ketika pelan pembangunan semula Gaza yang dicadangkan Presiden Donald Trump masih berdepan kekangan pelaksanaan, meskipun gencatan senjata antara Israel dan Hamas dicapai sebelum ini.
Ketua pejabat UNDP di Gaza, Alessandro Mrakic berkata wilayah itu kini berdepan antara cabaran pembersihan pascaperang terbesar, dengan anggaran 61 juta tan runtuhan.
“Selain mengumpul runtuhan, kami sudah mula mengasingkan, menghancurkan dan menggunakannya semula. Hampir jumlah yang sama telah digunakan semula,” katanya.
Menurut beliau, pasukan UNDP yang terdiri daripada pekerja Palestin menggunakan bahan tersebut bagi membaik pulih jalan serta menyediakan kawasan untuk penempatan sementara dan dapur komuniti.
Di Khan Younis, jentera berat dilihat mengorek timbunan runtuhan konkrit, sementara pekerja menapis besi dan sisa bangunan dalam keadaan berdebu.
Namun, usaha itu berdepan risiko tinggi kerana kemungkinan terdapat bahan letupan tidak meletup di bawah runtuhan, sekali gus memerlukan pemeriksaan rapi dengan kerjasama perkhidmatan pelupusan bahan letupan PBB.
Seorang pekerja, Ibrahim al-Sarsawi, 32, berkata beliau terpaksa mengambil risiko itu kerana tiada sumber pendapatan lain.
“Saya boleh cedera, tetapi tiada pilihan lain,” katanya, sambil memaklumkan lokasi kerja berhampiran garis gencatan senjata mendedahkan mereka kepada risiko tembakan sesat.
UNDP menganggarkan proses pembersihan runtuhan di Gaza boleh mengambil masa sehingga tujuh tahun, bergantung kepada akses berterusan kepada jentera berat dan bekalan bahan api yang mencukupi.
Setakat ini, kira-kira 287,000 tan runtuhan telah dibersihkan, namun jumlah itu disifatkan hanya “sebahagian kecil” daripada keseluruhan skala kemusnahan.
Menurut laporan bersama Kesatuan Eropah, PBB dan Bank Dunia, kos pemulihan serta pembinaan semula Gaza dianggarkan mencecah AS$71.4 bilion dalam tempoh sedekad.
Seorang penduduk, Sobhi Dawoud, 60, berkata meskipun perang telah berakhir, cabaran sebenar baru sahaja bermula.
“Ini adalah perang baharu – perang untuk membina semula, membersihkan runtuhan serta memulihkan infrastruktur seperti elektrik, air, kumbahan, sekolah dan jalan,” katanya.-REUTERS