BARCELONA, 28 Januari- Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez telah memutuskan untuk berundur daripada kelab gergasi Sepanyol itu pada penghujung musim ini.
Keputusan itu timbul selepas pasukannya tewas 3-5 di laman sendiri kepada Villareal pada aksi awal pagi tadi.
Rekod tersebut sekali gus menjadikan kekalahan ketiga skuad The Catalans dalam lima perlawanan terakhir mereka dalam La Liga.
Barca kini berada di tangga ketiga dengan 44 mata, 10 mata di belakang pendahulu, Real Madrid dan lapan mata di belakang Girona yang berada di tempat kedua.
"Saya ingin mengumumkan bahawa mulai 30 Jun saya tidak akan meneruskan tugas sebagai jurulatih Barca. Ia adalah situasi yang wajar."
"Saya rasa kelab memerlukan perubahan dinamik dan saya memberitahu presiden Joan Laporta. Sebagai peminat Barca, saya memikirkan tentang kelab dan pemain dan saya yakin mereka akan bebas dan lebih tenang.
"Saya fikir perkara terbaik untuk dilakukan ialah pergi pada 30 Jun. Setelah berkata demikian, saya akan memberikan yang terbaik untuk empat bulan yang tinggal, saya fikir kami boleh mengharungi musim yang baik dan saya berharap dinamik akan berubah. Saya percaya saya melakukan perkara yang betul," kata Xavi dalam sidang media selepas bertemu dengan presiden kelab Joan Laporta selama lebih setengah jam.
Xavi telah bermain untuk Barcelona selama 17 tahun, membuat 767 penampilan dan memenangi 25 trofi termasuk empat gelaran Liga Juara-Juara dan lapan mahkota LaLiga.
Bagaimanapun, Barcelona yang dianggap kelab hebat dan telah memenangi LaLiga musim lalu, berdepan tekanan di bawah pentadbiran Xavi.
Mereka dibelasah Real dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol awal Januari dan tersingkir pada suku akhir Copa del Rey oleh Athletic Bilbao pada Rabu.
Barca akan berdepan juara Itali musim lalu, Napoli dalam perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, 22 Februari ini.- REUTERS