KUALA TERENGGANU, 3 Oktober-Pihak pengurusan Terengganu Footbal Club Sdn Bhd (TFCSB) menafikan dakwaan bekas pemain importnya, Adisak Kraison yang mendakwa tidak dibayar tunggakan gaji sehingga enam angka.
Menerusi satu kenyataan di media sosialnya, TFC menyifatkan dakwaan yang dilontarkan Adisak tidak tepat.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB Mohd Sabri Abas bagaimanapun mengakui terdapat tunggakan pembayaran gaji bagi Disember lepas yang mencecah lima angka.
"Tahanan bayaran itu dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara melibatkan pemain dengan pihak ketiga seperti sewaan rumah, kenderaan dan hal-hal lain sebagaimana termaktub dalam kontrak.
"Tuntutan selebihnya adalah melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah lima angka sahaja. Ianya dalam kemampuan pihak TFC untuk menyelesaikannya," jelas TFC dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Sabri berkata, pihaknya telah terima surat arahan penyelesaian daripada FIFA pada 31 Ogos lepas.
Menurutnya TFCSB sedang mengambil langkah berkaitan dan akan menyelesaikan perkara tersebut dalam tempoh 45 hari yang diberikan FIFA.
Terdahulu TFC berpotensi dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh badan induk bola sepak dunia itu selepas Adisak mendakwa tidak menerima baki tunggakan gaji lebih enam angka.