fb fb fb fb fb

Tiga atlet Sarawak ukir nama di Kejohanan Muay Thai di Thailand

Foto RTM

KUCHING, 24 Disember- Tiga atlet kelahiran Sarawak berjaya mengharumkan nama negara dengan mencatat kemenangan cemerlang dalam dua kejohanan Muay Thai berprestij yang berlangsung di Bangkok dan Pattaya, Thailand, pada Sabtu dan Ahad lepas.

Atlet berkenaan ialah Kabilan Jelevan, 24 tahun, Mohamad Hasbullah Mood, 21 tahun dan Ayu Arash Aqasha Azmi, 23 tahun.

Kabilan memenangi perlawanan dalam kategori 62kg menerusi kiraan mata manakala Mohamad Hasbullah dan Ayu Arash masing-masing mencatat kemenangan dengan "Technical Knock Out (TKO)".

Ayu Arash menunjukkan kehebatan luar biasa apabila menewaskan lawan dengan TKO pada pusingan pertama dalam kategori 52kg.

Sementara itu, Mohamad Hasbullah mencatat kemenangan dengan TKO pada pusingan kedua dalam kategori 58kg.

Ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam tadi, ketiga-tiga atlet menyatakan bahawa kemenangan itu adalah hasil persiapan rapi dan latihan intensif.

Ketiga-tiga mereka juga akan turut serta dalam salah satu kejohanan tempatan yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada Januari nanti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM