fb fb fb fb fb

Terbuka India: Tujuh wakil negara berentap di pusingan kedua

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka India 2025, selepas mencatat kemenangan ke atas pasangan bukan pilihan dari Thailand Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, dalam perlawanan sengit selama 56 minit awal pagi tadi.

Pada perlawanan pusingan 32 terbaik di Indira Gandhi Sports Complex, menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas pada set pertama 20-22.

Namun, bangkit untuk memenangi dua set berikutnya dengan keputusan 21-16 dan 21-18 ke atas pasangan yang berada pada ranking ke-31 dunia itu.

Pasangan negara itu akan berhadapan beregu China, Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, yang berada pada ranking ke-39 dunia pada pusingan kedua hari ini.

Aaron-Wooi Yik pernah tewas kepada pasangan tersebut pada pertemuan terdahulu di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2024.

Selain itu, beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut melakar kemenangan apabila menundukkan pasangan tuan rumah Prerana Alvekar-Mrunmayee Despande 21-8, 21-19 dalam masa 27 minit.

Sebagai pilihan ketiga kejohanan, Pearly-Thinaah bakal menghadapi cabaran getir apabila bertemu pasangan China Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian buat kali pertama pada pusingan 16 terbaik hari ini.

Selain dua beregu itu, turut turun dengan misi sama adalah beregu lelaki profesional negara, Izzudin-Sze Fei, Tang Jie-Ee Wei, Roy King-Wan Arif dan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga mara ke pusingan kedua kejohanan.

Soon Huat-Shevon Lai cemerlang apabila berupaya menewaskan pasangan Indonesia Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi 'straight set'.

Gandingan ranking ke-10 itu dijadual bertemu wakil Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi dalam saingan 16 terbaik, hari ini.

Watanabe-Taguchi mara ke peringkat seterusnya selepas menyingkirkan satu lagi beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien menerusi kemenangan 21-17, 21-15.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM