fb fb fb fb fb

Supark Grizzly juara edisi sulung Kejohanan Ragbi Selayang 10s

Foto Selayang 10s

GOMBAK, 1 Oktober – Pasukan ragbi Supark Grizzly muncul juara edisi pertama Kejohanan Ragbi Selayang 10s selepas menewaskan Semashur Zealord dalam aksi final yang berlangsung ketika hujan lebat di Padang Ragbi Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.

Strategi menyerang yang diterapkan pasukan Supark Grizzly jelas membuahkan hasil dengan berjaya mendahului 14-0 pada separuh masa pertama.

Meski cuba memberikan cabaran, kekuatan Supark Grizzly jelas bukan tandingan pasukan Semashur Zealord yang dianggotai bekas pelajar Sekolah Menangah Sains Hulu Selangor.

Penguasaan terus dipamerkan Supark Grizzly menerusi satu lagi try pada separuh masa kedua dengan kesemua conversion berjaya disempurnakan menjadikan mata akhir untuk tamat perlawanan 21-0.

Selain aksi final kategori Cup, tuan rumah Rhinoz Warriors mencuri tumpuan apabila muncul juara kategori Plate selepas membenam Impact Oldboys 24-0.

Sementara bagi kategori Bowl, Shah Alam Rovers menewaskan KOBAU RC 7-5, manakala Home Of Warriors menewaskan OPA Black Scorpions bagi memenangi kategori Shield dengan mata 24-5.

Kejohanan Ragbi Selayang 10s adalah inisiatif Kelab Ragbi Rhinoz Warriors selepas menjuarai Liga Ragbi Divisyen 2 Selangor awal tahun ini.

Ia turut mendapat sokongan Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Ahmad Zahiri serta rakan strategik dan penaja yang turut hadir memeriahkan kejohanan.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN