JASIN, 25 Julai- Kerajaan Melaka akan memberi insentif sebanyak RM5,000 kepada atlet yang menyumbang pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak, Ogos depan.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V.P Shanmugam berkata, penerima pingat perak pula akan menerima RM3,000, manakala RM1,500 bagi perak gangsa.
Katanya, insentif tersebut sebagai penghargaan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri Melaka.
"Di samping apa yang kita tawarkan, ada juga kita lantik bapa angkat dan agensi angkat, yang mana mereka juga menawarkan ganjaran... paling tinggi RM5,000," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri bagi Bulan Julai 2024 dan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Alamanda di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal, persiapan atlet kini di tahap 100 peratus dan kesemua mereka bebas kecederaan serius.
Pihaknya juga bekerjasama dengan sebuah pusat fisioterapi dan rehabilitasi di Kota Laksamana dalam memberi rawatan terbaik kepada atlet dengan kos ditanggung MSN sepenuhnya.
Melaka bakal menghantar seramai 420 atlet dan menyasarkan sekurang-kurangnya 20 pingat emas untuk temasya SUKMA kali ini.