BANGKOK, 12 Disember – Malaysia terus mewarnai acara olahraga Sukan SEA apabila Nani Sahirah Maryata mengejutkan pencabar dengan meraih pingat emas dalam acara lontar peluru wanita di Stadium Suphachalasai, Bangkok, hari ini.
Atlet negara itu mencatat lontaran sejauh 16.36 meter, sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 15.39m yang dicapai pada Perlis Super Series, Kangar, tahun lalu.
Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Areerat Intadis dengan lontaran 16.04m, manakala wakil Vietnam, Huyen Kim Thi, membawa pulang gangsa hasil lontaran 15.92m.
Terdahulu, Grace Wong turut mencipta kejayaan gemilang dengan mempertahankan pingat emas baling tukul wanita, mencatat lontaran 65.41m dan memadam kedua-dua rekod kebangsaan serta rekod Sukan SEA sebelum ini.