KUALA LUMPUR, 12 September - Skuad badminton remaja negara mampu mencipta kejutan pada Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China yang dijadual bermula pada 30 September hingga 13 Oktober depan.
Keyakinan itu disuarakan Ketua jurulatih remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Jeffer Rosobin berdasarkan prestasi cemerlang pasukan negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia pada Julai lepas.
Beliau berkata persiapan kini giat dijalankan bagi memastikan pemain yang beraksi di kejohanan dunia tu berada di tahap prestasi tertinggi.
“Kalau kita lihat prestasi di Asian Junior pemain berjaya mendapat pingat selepas enam tahun. Kita dapat pingat perak untuk beregu lelaki dan tiga gangsa dalam beregu wanita, perseorangan dan acara berpasukan.
“Peluang untuk pemain-pemain kita di World Junior cukup terbuka. Harap waktu yang ada ini kita dapat gunakan sepenuhnya untuk membolehkan mereka berupaya mempamerkan permainan baik,” katanya.
Untuk rekod pencapaian terbaik Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Dunia pada 2011 adalah dengan meraih tiga pingat emas dalam acara berpasukan campuran, perseorangan lelaki dan beregu lelaki.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat di kejohanan itu adalah pada 2018 menerusi Goh Jin Wei yang berjaya meraih emas dalam acara perseorangan wanita. BERNAMA