fb fb fb fb fb

Serbia layak ke Euro 2024 selepas seri dengan Bulgaria

Para pemain Serbia meraikan kejayaan layak ke kejohanan EURO 2024 di Jerman selepas seri 2-2 menentang Bulgaria/FOTO AFP

LESKOVAC, 20 November - Serbia layak ke kejohanan Euro di Jerman tahun depan selepas melakar keputusan seri 2-2 ketika menentang Bulgaria pada pertembungan kumpulan G pada Ahad.

Serbia yang menduduki tangga kedua kumpulan berkenaan hanya memerlukan keputusan seri bagi layak secara automatik selepas pendahulu, Hungary layak terlebih dahulu dengan 18 mata.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di halaman sendiri itu, Serbia terpaksa menunggu sehingga minit ke-16 bagi membuka tirai jaringan menerusi tandukan Milos Veljkovic bagi membolehkan Serbia mendahului perlawanan sehingga waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Bulgaria berjaya menyamakan kedudukan menerusi Georgi Rusev pada minit ke-59, sebelum menggandakan kedudukan menerusi gol kedua oleh Kiril Despodov pada minit ke-69.

Serbia akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Srdjan Babic pada minit ke-82 hasil rembatan jarak dekat bagi mengikat perlawanan 2-2.

Sementara itu, pendahulu kumpulan G, Hungary pula terpaksa bangkit sebelum mencipta kemenangan 3-1 ke atas Montenegro dalam satu lagi perlawanan.

Montenegro terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Slobodan Rubezic pada minit ke-36 sebelum Dominik Szoboszlai membalas dengan dua gol dalam tempoh dua minit bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Sisa-sisa perjuangan Montenegro berakhir selepas Adam Nagy menjaringkan gol ketiga pada saat-saat akhir perlawanan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD