Persembahan bunga api sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS

Langit di kota New York dihiasi dengan pertunjukan bunga api sempena ulang tahun kemerdekaan ke-250 AS/ REUTERS

NEW YORK, 5 Julai Ruang udara New York diterangi cahaya pertunjukan bunga api berwarna-warni sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 85,000 bunga api dilepaskan dalam pertunjukan selama 25 minit.
  • Di Washington, ucapan Presiden Trump dan pertunjukan Freedom 250 ditangguhkan akibat amaran ribut petir.
  • Pihak berkuasa mengosongkan sementara kawasan berhampiran Monumen Washington; pengunjung dibenarkan kembali selepas keadaan disahkan selamat.
  • Sesetengah pengunjung kecewa tetapi ramai menyokong langkah keselamatan; ada yang tetap menunggu seperti Michael Girado.

Menurut laporan media tempatan, kira-kira 85,000 bunga api dilepaskan dalam pertunjukan selama 25 minit yang menghiasi latar langit ikonik bandar raya itu.

Sementara itu di Washington, ucapan Presiden AS Donald Trump serta acara pertunjukan bunga api sempena sambutan Freedom 250 terpaksa ditangguhkan berikutan amaran ribut petir.

Pihak berkuasa mengarahkan orang ramai mengosongkan sementara kawasan berhampiran Monumen Washington sebagai langkah berjaga-jaga susulan cuaca buruk.

Bagaimanapun, penganjur memaklumkan pengunjung dibenarkan memasuki semula kawasan acara selepas keadaan kembali selamat.

Trump dijadual menyampaikan ucapan pada pukul 11.00 malam waktu tempatan, iaitu sejam lebih lewat daripada jadual asal.

“Saya akan hadir walau apa pun yang berlaku. Ini malam Sabtu, marilah kita bergembira walaupun acara berakhir lewat malam,” katanya menerusi media sosial.

Donald Trump/ AFP

Sementara itu, sebahagian pengunjung yang hadir meluahkan rasa kecewa selepas diarahkan meninggalkan kawasan National Mall berikutan penangguhan acara akibat cuaca buruk.

Michael Girado, yang datang dari California, berkata beliau tetap menunggu bagi menyertai sambutan itu.

“Kami datang dari jauh untuk berada di sini, jadi kami akan terus menunggu,” katanya.

Walaupun ada pengunjung mempersoalkan arahan pemindahan kerana merasakan keadaan cuaca tidak terlalu buruk, terdapat juga yang menyifatkan langkah tersebut wajar demi keselamatan semua pihak.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.